Thursday, August 21, 2008

Ramadhan Al-Mubarak


Assalamualaikum....Wahai Saudaraku....

BERJIMAT cermat atau bersederhana dalam segala hal adalah tuntutan agama. Islam menegah umatnya berbelanja atau makan keterlaluan. Sikap berbelanja dengan berlebihan dianggap membazir.
BERJIMAT cermat atau bersederhana dalam segala hal adalah tuntutan agama. Islam menegah umatnya berbelanja atau makan keterlaluan.

Sikap berbelanja dengan berlebihan dianggap membazir.

Allah amat melarang sikap ini hingga menganggap orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.

Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra', ayat 27)

Berhubung pembaziran ini juga, Rasulullah saw bersabda dalam hadisnya bermaksud: “Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah, katanya: Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (menyedekah) miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Kitab Etika Hadis, No. 5518).

Oleh itu, sepanjang Ramadan yang mulia ini, umat Islam hendaklah memperbanyakkan ibadat dan sedekah.

Ramadan bukan bulan untuk berbelanja besar. Sifat itu sama sekali tidak memberi manfaat kepada umat Islam.

Perkara yang amat mendukacitakan apabila tibanya Ramadan, terutama ketika menjelang berbuka puasa, ada umat Islam yang menjadikan waktu berbuka tidak ubah seperti suasana ‘pesta makan’.

Semua umat Islam perlu fahami bahawa Ramadan bukanlah bulan pesta makanan bagi mereka. Ia adalah bulan untuk kita tingkatkan ibadat kepada Allah.

Sikap seseorang yang lebih pentingkan pesta menjamu selera pada bulan ini menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat itu tidak dapat dihayati dengan sempurna.

Hal ini seolah-olah kita tidak mementingkan kesucian Ramadan, tetapi lebih menggambarkan nilai komersial Ramadan. Jika ditinjau di pasar Ramadan, sikap suka membeli sudah menjadi trend kepada segelintir umat Islam.

Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya untuk membeli makanan. Cuma Islam mengajar kita supaya berbelanja secara sederhana setiap masa, termasuk sewaktu berbuka puasa.

Perlu diingatkan bahawa konsep 'hidup untuk makan' itu adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Kaedah makan yang dianjurkan oleh Islam adalah bermotifkan mengekalkan kesihatan tubuh badan kita.

Justeru, diajar supaya makan secara berpada-pada iaitu tidak membiarkan diri terlalu lapar dan tidak pula makan hingga terlalu kenyang.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Makanlah apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.” Inilah cara makan yang dianjurkan oleh Islam.

Manusia mempunyai selera tersendiri. Kadang kala apabila mereka berlapar sejak terbit fajar hingga terbenam matahari, maka keinginan selera nafsu mereka mahu mempelbagaikan juadah berbuka puasa.

Oleh kerana ada segelintir umat Islam yang kurang memberi penghayatan terhadap Ramadan, keadaan ini menyebabkan mereka lalai hingga melampaui batas berbelanja yang dianjurkan oleh agama. Tidak cukup dengan juadah yang dimasak di rumah, mereka membelinya lagi di bazar Ramadan.

Kita seharusnya memperbetulkan tabiat masyarakat Islam ketika membeli supaya mencapai umat yang bertakwa. Di samping itu, masyarakat Islam perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak kita hingga mencapai tahap takwa kepada Allah.

Bagi mencapai sifat takwa kita hendaklah benar-benar memahami bahawa puasa itu sebagai ibadat. Dalam pada itu, kita juga perlu bersikap sederhana. Selain mempertingkatkan amal ibadat, antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan, yang boleh menjejaskan kesihatan diri sendiri.

Sesungguhnya kualiti manusia bertakwa yang dihasilkan melalui ibadat puasa yang berjaya tidak mungkin menyamai kualiti takwa yang dicapai menerusi kaedah dan program pendidikan yang lain.

Puasa yang berjaya itu dapat melahirkan manusia yang berdisiplin, berdedikasi, berjiwa, berminda bersih dan berdaya tahan.

Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan.

Makan dan membeli berlebih-lebihan itu tidak memenuhi keistimewaan bulan yang mulia ini, malah ia hanya membawa kepada pembaziran.

Sebagai contoh, at-Tirmizi dan Abu Daud meriwayatkan bahawa Nabi berbuka sebelum sembahyang Maghrib dengan beberapa biji kurma basah (rutab). Sekiranya tiada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan kurma kering (tamar). Sekiranya tidak ada juga kurma kering, maka baginda hanya meminum beberapa teguk air.

Makan hanya pada kadar sederhana dan bukan bermotifkan untuk kenyang supaya tidak menjejaskan kesihatan kita. Sahabat mengkhabarkan bahawa Rasulullah tidak pernah makan hingga kenyang.

1 comment:

SyaffeQ said...

Masyarakat zaman skarang mmg suka melebih-lebih. Blan ramadhan adalh bulan mulia.Tpi masyarakat skarang menyalahertikn pengertian tu. Pembaziran perkara biasa bgi mereka.Banyak perkara yang megikut nafsu, padahal bulan Ramadhan mengajar kita supaya menjadi RAJA kepada NAFSU!!Tapi ada di antara masyarakat kita yang tunggang terbalik pemikiran mereka.entah kenapa dan entah mengapa.Bila di tanya mengapa membazir..selalu ayat yang keluar "Bulan Puasa cuma sekali dalam setahun". Ayat macam golongan "freethinker".Mengancam betul ayatnya.Motif sebenar saya menulis disini sebenarnya hendak menaip sahaja.Tapi tetiba ter"emosi" plak.Hehe.Sori yer Abg 5zul.